fbpx
0

Cahaya mata merupakan penyambung keturunan dan pengikat cinta antara suami isteri. Tanpa zuriat, rumah tangga kadang-kadang terasa sunyi dan seringkali tersentuh melihat wanita hamil ataupun telatah mereka yang mempunyai anak.

Bagi umat Islam, tentunya kita mahu memiliki keturunan yang baik supaya zuriat keturunan kita menjadi salah satu penyambung risalah Nabi Muhammad SAW dan memberi manfaat kepada seluruh umat. Oleh sebab itu, adalah penting bagi setiap pasangan terutama yang ingin mendirikan rumah tangga sangat disarankan mempersiapkan diri dengan ilmu dan amalan-amalan mudah hamil untuk mendapatkan zuriat.

Tips Pemakanan Mudah Hamil Menurut Islam

Bagi memastikan kehamilan berjalan lancar dan mudah “lekat” terdapat beberapa jenis makanan yang dapat membantu proses kehamilan berlaku dengan mudah. Antaranya:

Pengambilan Minyak Zaitun

Kepentingan minyak zaitun dalam mengekalkan kesihatan jantung dan badan yang sihat telah diketahui umum. Kehadiran lemak “monounsaturated” dalam minyak ini memainkan peranan mengurangkan keradangan di dalam badan dan membantu proses kehamilan bebas daripada komplikasi.

Kandungan antioksidan yang tinggi di dalam minyak zaitun boleh meningkatkan kesuburan untuk lelaki dan wanita. Fungsi antioksida yang terdapat pada minyak zaitun dapat menyahaktifkan radikal bebas dalam tubuh, yang boleh merosakkan sel-sel sperma dan telur.

Selain itu, pengamalan minyak zaitun dalam diet seharian dapat membantu meningkatkan aliran darah ke organ pembiakan lelaki dan wanita, meningkatkan pengeluaran lendir serviks, membantu mengawal hormon tubuh, menggalakkan ovulasi dan mengekalkan daya pengeluaran sel sperm justeru membantu si isteri untuk mudah hamil.

Pengambilan Jus Delima

Buah delima merupakan buah yang sangat masyhur dan telah menjadi amalan kesihatan sejak zaman Kuno lagi. Ia dianggap amat bagus bagi ibu mengandung dan juga untuk kesihatan umum. Malah, ia turut diangkat sebagai simbol kesuburan, seperti yang dinyatakan dalam kajian melalui jurnal-jurnal perubatan (Ref). Antara khasiat pengamalan pati delima bagi pasangan suami isteri adalah ia dapat membantu meningkatkan libido bagi kedua-dua jantina. Mempunyai kandungan vitamin B6 yang tinggi.

Vitamin ini penting untuk kitaran haid yang teratur dan dengan itu meningkatkan kesuburan. Membantu memelihara kadar keseimbangan hormon semasa haid (untuk mengelakkan senggugut), merapatkan rahim dan juga menyuburkan rahim.

Pengambilan Madu

Antara manfaat madu yang jarang diketahui adalah ia dapat membantu menyuburkan rahim wanita. Di mana madu dipercaya dapat merangsang sel ovarian dan juga meningkatkan kesuburan sel telur agar mudah disenyawakan ketika sperm masuk ke dalam rahim.

Pengambilan Buah Tin

Kandungan zat besi dan vitamin C dalam buah tin sangat penting bagi tubuh untuk menghasilkan sel darah merah. Zat besi bekerja untuk membentuk sel darah merah dan vitamin C membantu penyerapan zat besi dalam tubuh. Hal ini menghindarkan tubuh anda mengalami anemia yang dapat menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

Kandungan kalsium, zat besi, potassium, zink, dan magnesium di dalam buah tin merupakan nutrisi penting yang diperlukan oleh tubuh kita untuk menghasilkan hormon seksual seperti hormon androgen dan hormon estrogen. Ini adalah penting bagi setiap pasangan terutama wanita untuk hamil.

Pengambilan Buah Kurma

Buah kurma banyak berasal dari negeri Arab, di mana ia memiliki khasiat yang sangat banyak untuk kesihatan tubuh. Hal ini kerana, ia mengandungi nutrisi seperti protein, fiber, folate, vitamin K, zat besi, potassium, magnesium dan banyak lagi.

Selain itu, di dapati kurma dapat memberi manfaat pada sistem penghasilan oksitosin di mana hormon tersebut berperanan dalam membantu proses reproduksi ketika berhubungan intim dengan pasangan. Kehadiran asid folik yang terdapat pada kurma dapat membantu pembentukan sel yang sempurna untuk pembesaran janin dalam kandungan sepanjang tempoh hamil.

Nota Penting

Selain dari itu, pemakanan harian yang lain juga amat penting untuk diambil berat. Makanan berproses seperti nugget, sosej, makanan dalam tin atau ‘ready made’, mee segera dan lain-lain banyak mengandungi bahan pengawet, pewarna serta perisa dari bahan kimia yang mengganggu kestabilan hormon perlulah dielakkan. Ini akan memberi kesan kepada wanita lambat hamil kerana ketidak stabilan hormon.

Semoga dengan sedikit perkongsian mengenai pemakanan qurani ini dapat membantu pasangan suami isteri yang telah berkahwin untuk segera memperoleh cahaya mata. InsyaAllah.

Credit_Article by: Nor Syamimi Che Johari

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.